Monday, December 5, 2011

Buang Ego kalian wahai khalifah.

Sedih melihat gelagat pemimpin Melayu Islam yang sedang bertegang urat, bertikam lidah demi mempertahankan panji panji perjuangan mereka. Bulan purnama masih terang benderang manakala keris seperti tiada bisa dan telah tumpul matanya. Bulan sebenarnya mengharapkan sinar matahari untuk menjadi indah tatkala di malam hari, oleh sebab itulah bulan menjadi pujaan pasangan kekasih ketika malam mendatang. Namun keris perlu di asah setajam tajamnya dalam menghadapi pertempuran untuk memastikan dapat menikam mahupun mempertahankan diri dari serangan musuh dari pelbagai sudut ketika ini. Panji panji Bulan dan Keris menjadi perjuangan utama orang melayu walaupun berbeda dari segi ideologi politiknya. Yang keris tetap dengan melayunya, manakalah yang bulan masih dengan islamnya walaupun ia seperti malap dek kepentingan politiknya.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu telah menyaksikan para perwakilan UMNO telah berbaiah untuk taat setia di bawah pimpinan Najib. Namun ia sebenarnya di tertawakan oleh pembangkang kerana ia dilihat seperti polemik untuk menunjukkan kepada pembangkang bahawa pendekar pendekar UMNO telah siap sedia untuk bertempur. Namun, pada hakikatnya ilmu kependekaran UMNO masih belum utuh didada mereka kerana masih belum menjiwai sepenuhnya matlamat perjuangan dalam UMNO. Ahli ahli UMNO sebenarnya telah melakukan kesilapan dan ia dilihat satu kerugian yang amat besar kerana menggunakan platform PAU sebagai medan untuk kutuk mengutuk saudara sesama islam dengan mereka demi untuk melunaskan kehendak nafsu mereka ketika berucap. Pada hakikatnya, mereka sebenarnya telah membantu pihak pembangkang dalam mempromosikan Pakatan Rakyat di seluruh negara. Termasuk juga Presiden UMNO sendiri tururt membantu mempromosikan pakatan rakyat pada PAU tersebut.

PAS merupakan parti yang berteraskan islam dalam perjuangan mereka. Namun sejauh mana islamnya pembawakan mereka atau hanya untuk menentang UMNO yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Ada di antara pemimpin mereka bila bercakap atas platform islam, mereka berkata perlunya penyatuan dalam islam, umat islam perlu bersatu, islam menggalakkan kita bersatu sambil mengeluarkan hadis hadis nabi mengenai penyatuan dalam islam. Namun, bila bercakap atas platform PAS, ia tidak seperti yang mereka katakan. Malah dilihat seperti mahu menjatuhkan UMNO semata dalam perjuangan mereka. Dalam ceramah mereka, mereka menggalakkan ahli ahli PAS bangun solat malam, bertahajjud, membaca quran dan lakukan segala amalan yang baik. Ini merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh UMNO. Namun, solat malam mereka juga di masukkan mendoakan kejatuhan dan kehancuran UMNO pada PRU13 nanti. Sangat kecewa dan sedih dengan statement yang diberikan oleh YDP PAS di kawasan gombak pada 3hb disember lepas yang mengajak ahlinya mendoakan kehancuran UMNO.

Kemana hilangnya rasa kasih dan sayang di terapkan Rasulullah S.A.W. Adalah lebih baik jika mereka mendoakan ahli UMNO dan pemimpin UMNO mendapat hidayah dari Allah agar bersama mereka memperkasakan Islam di Malaysia ini seterusnya menjadi pencetus kepada kekuatan Ummah dan kesatuan Melayu dan Islam di negara ini. Gelanggang politik di Malaysia ini semakin hangat pabila satu persatu aib pemimpin dibongkarkan oleh saudara sendiri. Pembangkang membogelkan pemimpin kerajaan, manakala kerajaan UMNO membogelkan pemimpin pembangkang. pada hakikatnya kedua dua belah pihak telah pun di telangjang bulatkan oleh satu sama lain. Alangkah malu dan sedih melihat medan politik di Malaysia berteraskan aib mengaibkan, fitnah memfitnah, buruk memburukkan satu sama lain. Apakah langsung tiada rasa kasih dan sayang di jiwa pemimpin (Kerajaan mahupun pembangkang) kita pada hari ini?

Kalau UMNO masih dengan Melayu nya, PAS masih dengan Islamiknya, PKR dengan liberalisme nya. Namun dalam berpolitik, kefahaman tentang ideologi dan matlamat parti itu penting. Untuk menyampaikan maklumat yang tepat tentang perjuangan parti, tidak perlu memburukkan satu sama lain. Sebaliknya kita perlu mempertahankan dan menyebarkan matlamat dan objektif perjuangan parti kepada rakyat supaya mereka dapat memahami kekuatan sesebuah parti. Pada setiap ceramah ataupun  perhimpunan, pasti ada saja berita yang mahu di bogelkan.

Pemimpin UMNO mahupun PAS perlu membuang ego masing masing dalam memastikan kekuatan ummah kembali utuh. Perjuangan perlu berterasklan kasih dan sayang sesama saudara.Melayu kini menjadi lemah di bumi sendiri dek perbedaan ideologi politik masing masing di kalangan rakyatnya dan ada juga yang menangguk dia air yang keruh untuk menanti saat kejatuhan empayar melayu di bumi jawi ini. Jika PAS memikirkan soal kekuatan Islam dan jika UMNO memikirkan mengenai kekuatan Melayu, jalannya ialah perlunya ada penyatuan  2 parti ini untuk memastikan Melayu dan Islam masih utuh di negara ini. Namun, jika mereka masih memikirkan tentang perbedaan politik, penyatuan dan kekuatan melayu mungkin akan hanya tinggal laungan sahaja tanpa kesedaran rakyat yang lainnya.

Amirul Izzat


Wednesday, October 5, 2011

UMNO,mana generasi muda mu?

Segala Puji pujian hanya bagi Allah Tuhan Semesta Alam, yang sentiasa melimpahkan rahmatNya di bumi Malaysia yang di cintai ini. Malaysia juga salah satu negara islam yang maju di dunia ini. Kita pernah digeruni di kalangan negara ASEAN kerana keutuhan ekonomi negara. Tiger Economy, gelaran bagi Malaysia pada satu ketika dulu. Saudara sekalian, sejak akhir ini kita dapati kita semakin lemah, ekonomi negara juga semakin lemah walaupun di paparkan di media arus perdana bahawa ekonomi kita semakin maju dan meningkat, namun hakikatnya kita semakin lemah dan terus lemah. Selain ekonomi, kita orang orang melayu menghadapi krisis identiti, krisis akhlak dan pelbagai lagi masalah yang melanda orang orang melayu pada hari ini. Kita semakin lemah dan akan terus lemah jika kita tidak berusaha untuk memajukan diri kita.

UMNO suatu ketika dahulu adalah satu parti keramat bagi orang orang melayu tidak kira tua ataupun muda, lelaki ataupun perempuan. UMNO sudah sebati dalam diri orang orang melayu sejak awal penubuhannya sehinggalah hari ini. UMNO juga merupakan satu platform dalam perjuangan kemerdekaan negara dari penjajah melalui perundingan dengan pihak british. Ketika itu semua orang orang melayu sangat bangga pabila menjadi ahli sebuah parti keramat orang melayu. Terlintas di lubuk hati saya, kenapa pada zaman itu UMNO seperti pendekar yang sangat mahir dengan ilmu persilatannya? sehinggakan tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan UMNO pada ketika itu. Jawapannya, golongan muda yang berada dalam UMNO pada zaman itu adalah golongan muda yang hebat dan sangat tinggi semangat juangnya. 

Alhamdulillah, Allah telah beri kesempatan lagi pada UMNO untuk memerintah negara ini. Kemenagan BN dalam PRU 12 yang lalu bukanlah satu kejayaan yang boleh membanggakan BN, kerana BN mampu pergi lagi jauh dari itu. Kegagalan dalam mempertahankan pemerintahan bagi negeri kedah,perak dan selangor adalah satu amaran dari pihak pembangkang yang mereka telah bangkit dari kejatuhan. Adakah kita hendak biarkan mereka memerintah seluruh tanah air kita ini? Hakikatnya, UMNO semakin lemah. Satu persatu kesilapan kita di bogelkan oleh pembangkang. Segala isu yang kita mainkan semuanya gagal. Seakan UMNO sudah di tawarkan ilmunya dan tidak punya taring untuk menyerang lagi. segala isu yang dibangkitkan pembangkang mengenai kemungkaran umno dikeluarkan. Kenapa? Tidak perlu menyalahkan pembangkan dalam soal ini, sebaliknya salahkan diri kita sendiri. Hakikatnya kita sendiri yang melakukan kesilapan sehingga di hidu oleh pembangkang. Jika kita bersih dalam pemerintahan, saya yakin mereka tidak punya isu untuk membogelkan kita. Dari isu MP masuk masjid sehinggalah isu sejarah Malaysia, kita kalah dalam menjawab segala isu yang ditimbulkan oleh pembangkang.

Kata kata saidina Ali karamallahu wajhah, " Jika kita ingin melihat bagaimana islam di masa hadapan, lihatlah golongan mudanya pada hari ini". Dengan menggunakan mutiara kata ini juga kita boleh simpulkan, bagaimana UMNO pada masa hadapan? Pemimpin pemimpin UMNO di peringkat cawangan sebenarnya perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO. UMNO perlukan penjenamaan semula. Jika Tun Mahathir telah membuat penjenamaan semula UMNO dizamannya. UMNO pada masa ini juga perlu penjenamaan semula dan penstrukturan semula di seluruh peringkat. Sedih melihat golongan muda UMNO di peringkat cawangan khususnya, sunyi dan sepi dan tiada sambutan yang hangat dari golongan muda melayu. Di manakan pemimpin kita di peringkat cawangan? adakah mereka hanya duduk lepak borak kosong sambil mengata dan menjatuhkan saudara sendiri? Jika ini benar benar belaku, saya yakin kita akan punah tidak lama lagi. Sepatutnya pemimpin peringkat cawangan perlu menjadi mentor dan fasilitator kepada PUMUDA UMNO di peringkat cawangan. Di bahagian setiawangsa sendiri, sedih melihat golongan muda yang menghadiri perhimpunan Pemuda Umno bahagian, hanya dihadiri oleh golongan muda yang kebanyakannya tiada jatidirinya. Saya yakin penulisan saya ini mungkin akan membuat segelintir pemimpin UMNO bahagian akan berang, akan tetapi saya menyataan kebenaran yang kita perlu sedar. Saya ingin bertanya pada pemimpin UMNO bahagian Setiawangsa, adakah masih ada sinar dan harapan UMNO akan terus kukuh jika kita melihat PEMUDA UMNO kita pada hari ini? 

Untuk berjuang dalam sesuatu. Kita perlu ada asas yang kukuh. tetapi apakah asas perjuangan UMNO  pada hari ini? adakah untuk memartabatkan agama islam, bangsa melayu dan tanah air atau untuk mengisi perut sendiri? yang diketahui umum, pemimpin UMNO hanya mengisi perut mereka sendiri sahaja. Asas yang kukuh itu adalah agama islam. Bagaimana kita hendak berjuang tanpa ada asas perjuangan yang kukuh? adakah kita berjuang tanpa arah tuju? Asas agama islam itu penting dalam perjuangan. bagaimana seorang mujahid untuk mencapai syuhada? kerana sayangkan agama. mereka telah gugur syahid dalam peperangan. Dalam lirik UMNO juga ada menyatakan, berjasa pada Bangsa, Agama dan Negara. Prinsip itu perlu di ubah kepada Berjasa pada Agama, Bangsa dan Negara.

Tiada landasan yang betul dalam perjuangan membuatkan golongan muda tidak tertarik dalam UMNO. Pemimpin UMNO peringkat cawangan perlu memberi tunjuk ajar kepada pelapis mereka, bukan untuk menggunakan pemuda untuk meraih pengaruh dalam menjatuhkan pemimpin tertentu. Perlu apa kita menjatuhkan pemimpin itu jika ia berkhidmat baik di setiawangsa, apakah sudah hilang rasa kasih sayang antara satu sama lain semsama islam dalam UMNO setiawangsa? Dalam UMNO sendiri ada kumpulan tertentu untuk menjatuhkan pemipin. Pemuda sendiri tidak tahu apa yang mereka perlu lakukan dalam membangkitkan semangat orang orang melayu.

Apa yang di tulis ini adalah realiti yang dihadapi oleh golongan muda UMNO setiawangsa. Bersiap siagalah dalam menghadapi PRU 13 yang akan datang. Pemimpin UMNO cawangan perlu memikirkan bagaimana untuk membina semula kekuata golongan Muda UMNO setiawangsa. Penulisan ini mungkin akan menimbulkan kitidakpuasan hati pemimpin UMBO bahagian, tetapi ketahuilah, ini adalah realiti dan hakikat yang perlu diterima. Kadang kadang kebenaran itu pahit untuk ditelan.

Sekian

Sunday, May 22, 2011

Hidup Hidupilah UMNO, jangan mencari hidup dalam UMNO


Pada tanggal 11 Mei 2011 yang lalu, UMNO telah menyambut ulangtahunnya yang ke 65. Ini membuktikan UMNO telah mencapai usia yang begitu matang dalam gelanggang politik mahupun dalam sistem pemerintahan yang penuh dengan cabaran globalisasi. Sekalung tahniah kepada pejuang pejuang UMNO yang telah memartabatkan Agama Islam, memperkasakan bangsa Melayu dan mempertahankan Tanah Air yang tercinta ini sejak awal penubuhannya. Pada hari ini, 22Mei 2011, UMNO Bahagian Setiawangsa telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO bahagian Setiawangsa. Tahniah kepada Perwakilan yang hadir.

Pemuda ialah golongan muda belia yang akan mewarisi tampuk pemerintahan kerajaan pada hari ini. Pemuda juga ialah pejuang muda untuk memartabatkan agama islam, memperkasakan bangsa dan mempertahankan negara pada masa depan. Jika diimbas kembali pada awal penubuhan UMNO, Pemuda UMNO sanggup berjuang habis habisan bersama barisan kepimpinan ketika itu untuk memerdekakan negara ini. Itulah kebanggaan UMNO pada suatu ketika dahulu.



Lagu ikrar pemuda UMNO itu menjadi panduan matlamat pejuang muda dalam UMNO, "Pemuda harapan negara, membela dan membuat jasa, membina negara kaya raya, ibu pertiwi Malaysia." antara rangkap lirik lagu ikrar pemuda UMNO. Namun, jika dinilai kembali dengan pemuda UMNO pada hari ini khususnya di bahagian setiawangsa, adakah kita layak menjadi harapan bangsa? adakah kita layak membela dan membuat jasa? adakah kita sanggup berjuang berkorban jiwa raga? kepada pemuda UMNO tepuk dada tanyalah diri kita sendiri.

Kata kata hikmah oleh Saidina Ali : "Jika kita ingin lihat bagaimana Islam di masa akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini". Jesteru, jika kita ingin lihat bagaimana UMNO Setiawangsa pada masa akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini. Jika kita ingin melihat bagaimana melayu akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini yang gemar berpeleseran dan berhibur tanpa batasan. Itukah yang kita mahukan di masa akan datang?

Beberapa langkah perlu di atur untuk memartabatkan kembali Pemuda Melayu amnya, Pemuda UMNO Setiawangsa khususnya. Pemuda UMNO perlu "mengisi" diri mereka dengan ilmu ilmu agama dengan sebanyak banyaknya untuk kebaikan ummah dan untuk menangkis fatwa yang di keluarkan oleh pihak PAS jika ada kesalahannya. Kita perlu menyiapkan diri dalam menghadapi lawan. Ibarat pendekar menyiapkan diri mereka untuk bertarung di gelanggang persilatan. Ini adalah untuk persediaan menghadapi segala kemungkinan isu yang akan di bangkitkan oleh PAS kerana PAS ialah satu satunya parti yang asasnya ialah orang melayu akan tetapi perjuangan mereka ialah hanyalah untuk menjatuhkan UMNO semata. Kita perlu membuktikan bahawa kita lebih hebat dan perjuangan kita dalam memartabatkan islam di Malaysia adalah jihad yang benar. Untuk memperoleh itu, kita semua perlu mencari ilmu dengan sebanyak banyaknya tidak kira ilmu politik mahupun ilmu yang lainnya terutama ilmu agama.

Alhamdulillah, Allah memberikan kemenangan kepada UMNO di setiwangsa pada PRU 12 yang lalu. Itu bukan bermakna kemenangan akan berpihak kepada kita pada PRU13 nanti. "Lambang kita yang gagah, dipandang mulia dan indah" ialah beberapa potong ayat dari lirik lagu UMNO. Jika kita kaji, adakah kita dipandang mulia, gagah dan indah di mata masyarakat? jawapannya pada PRU 13 nanti. Perjuangan kita perlu berlandaskan Al Quran dan As sunnah untuk menjadikan perjuangan Islam itu yang utama dalam UMNO, perjuangan kepada bangsa yang kedua dan seterusnya mempertahankan negara ini dari dimiliki oleh orang bukan melayu.

Program sukan (bola sepak) yang sering di adakan oleh pemuda Setiwangsa boleh dikategorikan sebagai acara yang lapok dan kurang pengisian kepada golongan muda melayu. Sepatutnya, kita perlu adakan program pemantapan iman, program kerohanian yang dapat membimbing anak melayu agar kembali kepada islam. Program pemantapan solat untuk remaja, kursus pengurusan jenazah, sembelihan dan banyak lagi program yang dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada ummah di bahagian setiawangsa dan bakal menarik minat golongan terpelajar dan golongan muda untuk mendekati UMNO jesteru dapat memulihkan kembali imej UMNO yang telah kurang popular di mata masyarakat. Dasar perjuangan islam itu amat penting kerana ia dapat memberi satu impak yang besar kepada barisan kepimpinan di masa hadapan. Kerana pihak PAS lebih menonjol dengan keislamannya dari UMNO.

Mendekati golongan terpelajar untuk mengetahui apa harapan mereka kepada UMNO. Melakukan survey kepada golongan muda melayu untuk menganalisis segala kelemahan dan kelebihan pemuda UMNO di setiawangsa. Mengadakan program kesedaran mengenai kepentingan orang melayu dalam memerintah negara terbuka kepada seluruh warga melayu di bahagian setiawangsa. Latihan intensif untuk golongan muda yang layak untuk memimpin dan layak untuk membimbing anak melayu perlu di adakan secepat mungkin dalam kita memilih calon yang layak memimpin PEMUDA UMNO berdasarkan ketokohan dan kewibawaan yang ada pada calon tersebut bukan berdasarkan pemilihan yang bersifat kepuakan dengan mengamalkan politik wang yang akan merugikan anak bangsa.

Tertarik saya dengan kata kata Kiai Haji Ahmad Dahlan : "hidup hidupilah Muhammadiyyah, jangan mencari hidup dalam Muhammadiyyah". Muhammadiyyah ialah satu institusi ilmu yang memberi lembaran baru kepada masyarakat islam di Jawa. Jika dikaitkan "Hidup Hidupilah UMNO, jangan mencari Hidup dalam UMNO". bermaksud janganlah kita jadikan UMNO sebagai landasan untuk kesenangan diri sendiri kerana ia bakal menjadi racun yang bisa utk anak melayu akan datang.

Kita sudah terlepas beberapa buah negeri pada PRU12 lalu. Ini ialah satu rahmat dari Allah dan Belas KasihanNya kepada kita. jika di kaji kembali, hikmah kekalahan kita di beberapa buah negeri itu menjadi satu titik tolak untuk kita muhasabah diri kita dan kembali kepada landasan perjuangan sebenar, iaitu Islam. Jika tidak kerana kekalahan itu, kita pasti masih lena dibuai mimpi yang tidak berkesudahan. Ini ialah rahmat yang paling besar untuk UMNO, maka gunakanlah sebaiknya.

Strategi pembangkang dalam mendekati mahasiswa untuk "menyebarkan virus" semakin menampakkan hasil, mahasiswa terutama melayu semakin meluat dengan isu isu yang dimainkan UMNO. Pemuda UMNO perlu dijadikan sebagai medium dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada golongan mahasiswa. Pemuda UMNO setiawangsa juga membawa imej parti kemanapun mereka berada. Maka, kita haruslah memperbaiki diri agar kita menjadi contoh kepada golongan muda yang lainnya di luar sana.

Pendekatan mengunakan media elektronik sebagai medium untuk mempromosikan UMNO di laman sosial adalah satu tanda Pemuda UMNO semakin bijak dalam menyampaikan maklumat. Namun, permainan isu perlu di jaga dan janganlah jadikan laman sosial seperti Facebook sebagai alat untuk memburukkan pemimipin tertentu walaupun pemimpin pembangkang. Sepatutnya kita jadikan laman sosial Facebook sebagai kita menjadi "antivirus" kepada virus yang disebarkan oleh pembangkang.

Perjuangan Islam dalam UMNO perlu di perluaskan lagi untuk memastikan adanya redha Allah dan rahmatNya dalam perjuangan kita. Pemuda perlu terus bangkit dan berjuang dalam memperbaiki diri dan mencari ilmu sebanyak banyak dalam menghadapi pilihanraya yang semakin hampir. Ingatlah saudaraku, kemenangan itu ialah datangnya dari Allah, kekalahan itu juga datangnya dari Allah. Maka, Berdoalah, berusahalah, berikhtiarlah dan akhir sekali bertwakkal kepada Allah. itu ialah kunci kejayaan kita...Allahu Akbar!!

-Amirul Izzat Abdul Rahman-


























Thursday, November 11, 2010

Kebijaksanaan Suami Menjaga Hati Isteri


Pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Umar bin Khattab ra. hendak mengadu keburukan isterinya. Namun setiba di samping rumahnya, ia mendengar isteri Umar bin Khattab mengeluarkan kata-kata yang keras dan kasar kepada suaminya, sementara Umar tidak menjawab sepatah kata pun. Akhirnya orang itu berfikir, sebaiknya ia membatalkan saja niatnya.

Ketika orang itu hendak berbalik pulang, Umar baru saja keluar dari pintu rumahnya. Umar segera berteriak memanggil orang itu. Umar langsung berkata kepadanya, "Engkau datang kepadaku tentu hendak membawa satu berita penting!"

Orang itu lalu berkata terus terang , "Ya sahabat Umar bin Khattab, aku datang kepadamu hendak mengadu keburukkan isteriku terhadapku. Akan tetapi setelah aku mendengar kelancangan isterimu tadi terhadapmu, dan sikap diammu terhadap perbuatannya, aku jadi mengurungkan niatku untk melaporkan hal itu."

Mendengar perkataan yang jujur itu, Umar tersenyum kecil seraya berkata, "Wahai saudaraku, isteriku telah memasakkan makanan untukku. Dia juga telah mencuci pakaianku, mengurus urusan rumahku, dan mengasuh anak-anakku sehingga tiada hentinya. Maka apabila ia berbuat satu dua kesalahan, tidaklah layak kita mengenangnya, sedang kebaikan-kebaikannya kita lupakan. Ketahuilah, wahai saudaraku, antara kami dan dia hanya ada dua hari. Kalau kami tidak meninggalkannya dan terbebas dari perangainya, maka dia akan meninggalkan kami dan terbebas dari perangai kami pula."

Setelah mendengar penuturan yang amat bijak dan penuh hikmah itu, orang itu pergi meninggalkan Umar bin Khattab dengan hati gembira dan puas.

Pengajaran dari cerita di atas

Setiap lelaki di bekali dengan sikap kesabaran dan kematangan dalam menghadapi setiap situasi yang sukar. Lelaki lebih berjaya dalam membuat keputusan-keputusan untuk keluar dari masalah yang dihadapi. Lelaki yang bijak adalah lelaki yang faham akan situasi isterinya dan tahu cara mengurus isterinya. Sebab itulah lelaki merupakan ketua keluarga. Suami perlu bersikap sabar apabila dimarahi dan dileter oleh isterinya, kerana suami yang sabar akan tingkah laku isterinya yang suka bercakap atau beleter, akan dihapuskan segala dosa-dosa masa lalunya. Hal ini berlaku kepada Nabi Allah Ilyas yang berdoa supaya dianugerahkan kepadanya isteri yang kuat beleter, kerana ia mengetahui inilah cara beliau menghapuskan dosa dan cara mudah untuk masuk kedalam syurga Allah.

Setiap suami kena bijak menghadapi isterinya, kadang-kadang isteri buat perangai atau marah tak tentu pasal mesti ada sebabnya, ada pepatah mengatakan bahawa wanita ini makhluk emosi dan angin tak tentu pasal. Jadi suami kena bijak menghadapinya, tindakan yang lebih baik adalah diam apabila mendengar isteri beleter atau sedang marah-marah, kerana isteri ini akan diam dan terasa perbuatannya itu salah dan dia akan segera memohon maaf kepada suaminya, waktu itulah kita kaunselingkan dia dengan nasihat-nasihat yang lembut dan kata-kata hati ke hati. Selalunya isteri lebih terbuka ketika mana ia minta maaf kepada suaminya atas perbuatannya.

Sering-seringlah menghargai diri isteri kita yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaganya untuk suaminya, seperti memasak, membasuh pakaian, menjaga anak, mengemas rumah, mengurus rumah dan sebagainya. Cara penghargaannya ialah setiap kali gaji, bawa isteri pergi makan di mana-mana restoran yang berkongsepkan romentik, kalau cara ini tidak mampu, maka keluarkan kata-kata penghargaan kepada isteri disebabkan tugas-tugas yang telah dilaksanakan. Selalunya suami payah untuk mengeluarkan kata-kata pujian dan penghargaan, kerana suami bersifat ego atau menganggap kata-kata tersebut sebagai buang masa. Hadiahkan isteri apa-apa barang yang berpatutan pada setiap saat-saat hari bahagianya seperti hari lahirnya, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

Sebenarnya dari sudut psikologi isteri akan rasa lebih dihargai dan lebih disayangi ketika mana suami tahu menghargai dirinya. Malah setiap perkara yang kita suruh mesti akan dibuat oleh isteri kita dengan hati yang penuh taat dan tidak membantah.

Ada pepatah yang mengatakan bahawa wanita ini diibaratkan seperti kulit bawang yang sangat halus, kalau nak menanggalkan kulit bawang tersebut perlu berhati-hati dan lembut kerana kulitnya mudah terkoyak. Kesimpulan dari falsafah ini, wanita itu sangat lembut dan mudah terasa dan berfikiran sensetif setiap kali ia diabaikan.

Waktu yang paling bahaya ialah waktu ia dalam keadaan haid atau tidak suci, selalunya wanita ini seringkali berkeadaan tidak menentu emosinya, kadang-kadang tak pasal-pasal dimarahi oleh isteri. Jadi waktu sebegini suami kena faham dan kena bersikap berdiamkan diri, berdiamkan diri ini adalah lebih baik, atau keluar dari rumah pergi mengeteh dan sebagainya. Waktu seperti ini kebiasaan wanita ia akan reda sendiri kemarahannya, dan dia sendiri tidak sedar akan kelakuannya.

Bagi suami janganlah terlalu garang dengan isteri dan terlalu kasar atau keras suara dengan isteri. Perbuatan ini akan menyebabkan isteri merasa dirinya tidak dihargai dan tidak berguna untuk suami dan paling bahaya apabila isteri mengatakan suaminya hanya baik ketika ingin bersama dengannya sahaja. Semua perbuatan ini akan menyebabkan kerenganggan dan keberontokan rumahtangga. Isteri takut menegur suami kerana takut dimarahi, suami pula anggap isteri tidak memberikan layanan yang sepatutnya. Kalau masakan isteri tawar atau terlebih garam, jangan terus melenting dan memarahi isteri. Gunakan cara yang hikmah untuk menegur isteri. Pernah ketika isteri Rasulullah menghidangkan kepadanya air yang tawar tanpa gula disebabkan isterinya terlupa masukkan gula dalam minuman Rasulullah. Apabila Baginda minum minuman tersebut sehingga berkedut kening Baginda, isterinya perasan disebabkan ternampak kening Rasulullah. Lantas isterinya bertanya, bagaimana rasa air tersebut, Baginda mengatakan ok sahaja, dan isterinya merasa sedikit air yang dibancuhnya dan tersenyum kerana airnya sangat tawar. Baginda tidak berkata apa-apa dan mendiamkan diri sahaja.

Setiap kali ada pertelingkahan, pergaduhan dan selisih faham, lebih baik suami yang dahulu memohon maaf atas kejadian tersebut dan menceritakan perkara yang sebenarnya tercetus pergaduhan tersebut. Kalau boleh cuba fahamkan isteri tentang situasi yang dihadapi oleh suami. Contoh situasi tersebut seperti dimarahi bos, banyak kerja yang belum siap, kesesakkan lalu lintas, bebanan hutang dan sebagainya. Kalau boleh peluk manja kepada isteri ada setiap sesi penjelasan dan memohon maaf, ini membantu untuk menurunkan kemarahan isteri dan membantu untuk memberikan kefahaman kepada isteri atas sebab-sebab berlakunya pertengkaran.

Yang penting di sini, setiap perkara yang dihadapi oleh suami, jadikanlah isteri itu sebagai teman bercerita dan meluahkan segala kepayahan yang dialami. Situasi seperti ini akan memberikan motivasi dan dorongan kepada suami untuk keluar dari masalah tersebut dengan disokong oleh isteri.

Jangan sesekali ada konsep seperti “isteri perlu diajar dengan secukupnya, pukul isteri, pulau isteri” ini semua akan mendatangkan masalah lagi dalam rumahtangga, ingatlah kepada anak-anak ketika timbul masalah rumahtangga, ia juga dapat menenangkan diri kita dan sekaligus menurunkan kemarahan kita. Islam sangat melarang suami memukul isteri dan menengking isteri, kecuali nasihat suami atas perkara-perkara yang wajib tidak dilakukan oleh isteri barulah boleh dimarahi dan seterusnya dipukul isteri tanpa mencederakan isteri. Sebab pukulan itu adalah untuk mengajar isteri bahawa perbuatannya itu adalah salah.

Penutup

Jadikan isteri sebagai teman yang paling rapat dan disayangi, jadilah isteri kita sebagai tempat penyejuk hati dan penunjuk jalan jika kita menghadapi kesukaran. Suami juga perlu bijak mengurus rumahtangganya, kerana suami yang bijak dapat mengurus rumahtangganya dengan baik. Suami yang bijak juga adalah suami yang mempunyai akhlak yang baik dan tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah. Keluarga yang baik adalah keluarga mawardah warahmat dan menganggap rumahnya seperti rumahku syurgaku.

Bila Penjajah pun terkejut jawi di kuburkan


Semasa bekerja di Queen Mother Library, saya diminta untuk melayan seorang pengunjung, warga emas Scottish.

Walaupun saya menjangkakan yang umur beliau sudah mencecah umur 70-an dan sudah bertongkat, tetapi datuk Scottish ini kelihatan 'cerah' fizikal dan akal.

Semasa menguruskan kad keahlian perpustaan beliau, banyak soalan diajukan kepada saya.

Antara yang amat menarik perhatian saya ialah:

"Are you jawi people... errr I mean from Malaya?"

"Yes I am from Malaya. We call our country now as Malaysia."

"How do you have a good English (Latin character) writing?"

"Because simply I'd been grown up by this."

"Ohh dear me, I thought Malayan people are still using this Arabic or Quranic font to write their language. I still remember it's called jawi, and even a lot of people call your people as jawi."

Rupa-rupanya pakcik itu, seperti ratusan bahkan mungkin ribuan lagi warga British yang lain, pernah berkhidmat menjajah Tanah Melayu suatu masa dahulu.

Beliau terkejut kerana tulisan jawi sudah tidak lagi digunakan secara meluas di negara kita, sedangkan semasa beliau bertugas di negara kita sepanjang sekitar tahun 40-50an, tulisan jawi digunakan secara meluas.

Bahkan beliau sendiri boleh mengingati beberapa huruf arab/jawi.

Sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan warga emas di Malaysia lebih fasih membaca tulisan jawi berbanding tulisan rumi.

Mana tidaknya, itulah dia tulisan rasmi sewaktu mereka di bangku persekolahan.

Arwah abah saya sendiri, yang pernah menjadi salah seorang pegawai atasan Telekom, banyak mencatat di dalam jawi.

Arwah atuk saya, melanggan akhbar Utusan Melayu yang kini telah dipusarakan.

Bahkan, pemasyhuran kemerdekaan pada tahun 1957 turut ditulis di dalam tulisan jawi.

Itu belum ditelek lagi dokumen perjanjian perdagangan antara Raja-raja Melayu dengan pedagang dan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris lagi.

Ketika pendita Za'ba telah memberikan nafas baru kepada tulisan jawi dengan karya agungnya 'Rahsia Tulisan Jawi', agak malang kerana anak-anak didik penjajah berkulit sawa matang telah mentalkinkannya di dalam sistem pendidikan.

Permulaan kepada pengakhiran tulisan jawi, ialah selepas perlaksanaan Akta Bahasa 1963 ketika mana tulisan rumi telah dijadikan tulisan rasmi di dalam urusan kerajaan khususnya di dalam sistem pendidikan.

Apa yang berlaku di negara kita pada waktu tersebut ialah duplikasi sekularisasi daripada negara Turki, setelah kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, antara keutamaan anak didik penjajah ketika itu ialah me'latin'kan tulisan Turki yang asalnya menggunakan huruf Arab.

Daripada wujudnya kelas jawi di sekolah rendah, akhirnya jawi terkubur di dalam buku teks subjek Pengajian Islam sahaja.

Kesannya, ialah generasi muda yang merangkak-rangkak membaca jawi dan yang sedihnya, menjejaskan 'kelancaran' bacaan al-Quran mereka.

Ya saya akui ada perdebatan akademik mengenai adakah tulisan jawi membantu bacaan al-Quran, akan tetapi itu bukan soal pokok yang ingin saya bincangkan di sini.

Di United Kingdom, saya rasa kagum dengan bagaimana orang-orang Pakistan dan India yang ramai bermigrasi di sini memelihara tulisan Urdu mereka supaya sama dengan tulisan Arab.

Anak-anak muda mereka masih lagi lancar menulis di dalam tulisan Urdu, walaupun bersekolah Inggeris, dan hidup pun gaya British.

Mereka masih mampu menerbitkan surat khabar di dalam tulisan Urdu di negara sekular ini, dan ianya dibaca secara meluas.

Pergilah sahaja ke masjid, atau ke kedai halal, anda akan dapat melihat tulisan Urdu.

Cuma alhamdulillah ketika pemerintahan Tun Abdullah dengan slogan Islam Hadharinya, beliau telah menggagaskan j-Qaf.

Pada peringkat awal, saya pun tidak tahu apakah yang dimaksudnya dengan j-Qaf.

Rupa-rupanya, ia adalah merupakan satu cubaan untuk menyuntik nafas baru di dalam subjek Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain (singkatannya ialah j-Qaf).

Ramai rakan-rakan sepengajian saya di Mesir bekerja sebagai guru j-Qaf di sekolah kerajaan.

Ketepikan khilaf politik, didoakan agar usaha itu boleh mengembalikan kegemilangan tulisan jawi.

Dan tidak cukup dengan itu sahaja, generasi saya, iaitu generasi mak abah kepada anak-anak moden perlu sedari awal mendidik anak-anak kita dengan tulisan Arab.

Pendedahan awal akan memastikan mereka lancar membaca al-Quran apabila dewasa nanti.

Tulisan jawi bagi saya amat membantu penguasaan bahasa Arab dan al-Quran.

Justeru, ketika Pendita Za'ba telah berusaha merekaya tulisan jawi dengan karya 'Rahsia Tulisan Jawi'nya, maka janganlah kita menjadi generasi yang 'merahsiakan tulisan jawi di dalam pusaranya'.

- Artikel iluvislam.com

Monday, January 4, 2010

Isu Allah : Antara Kemusnahan dan Perpaduan

Isu pengunaan Nama ALLAH bagi agama kristian kini kian hangat diperkatakan di Malaysia. Penggunaan Nama Allah bg Majalah mingguan terbitan gereja katholik, Herald kini kian heboh dan mengundang kemarahan umat islam di Malaysia. Akan tetapi bg pandangan sy, ini merupakan satu permasalahan yang Allah S.W.T turunkan kpd kita umat islam supaya sedar dari lamunan yang tidak berkesudahan.

Allah merupakan Tuhan bagi seluruh makhluk di Alam semesta ini. Pengunaan Nama Allah bg tuhan Kristian itu sememangnya benar bg Agama Samawi. Penganut agama Kristian Khatolik mengakui Allah jualah Tuhan Semesta Alam, Akan tetapi merekan mengakui bahawa Nabi Isa a.s adalah anak tuhan sedangkan allah telah berfirman :

"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia". (surah Al Ikhlas)

Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. ini membuktikan Allah itu tidak seperti Tuhan bg kepercayaan Kristian. Sewajarnya umat islam di Malaysia tersinggung dengan penggunaan Nama Allah bg bukan islam.

Isunya adalah adakah kita sudah bersedia untuk mengahadapi satu permasalahan yang kita sendiri sebagai umat islam masih belum memahaminya. Adakah kita tidak berfikir apa sebenarnya yang kita perlu pelajari dari masalah ini? Bg saya, kita sbg umat islam perlulah menuntut ilmu Islam dengan mendalam lagi, bukan hanya mengejar ilmu dunia yang kita sudah miliki. Adakah kita sudah muhasabah kekurangan kita dan kelemahan kita sehingga kita lalai dan akhirnya orang bukan islam sudah melampaui batas. Segala permasalahan yang kita hadapi ini adalah berpunca dari kelemahan dan kerendahan ilmu kita mengenai islam dan mengenai Allah. Jika saya tanyakan kepada golongan muda hari ini, adakah anda tahu Sifat sifat Allah? tidak semua yang mengetahui ada berapa sifat Allah dan apakah Sifat Sifat Allah. Dan jika saya tanyakan kepada mereka adakah merekan tahu tentang gosip gosip selebriti, sudah tentu mereka menjawab dengan jelas. Sememangya kita sebagai umat islam di Malaysia lemah tentang agama. Saya yakin Allah menurunkan Permasalahan ini mahukan kita muhasabah diri kita seluruh peringkat. Baik dari baisan kepimpinan negara sehinggalah anak anak kita. bukankah Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersabda :

"Awwaluddin Makrifatullah" bermaksud awal awal agama mengenal Allah. Kita perlulah muhasabah diri kita agar kita tidak lagi diperkotak katikkan oleh orang bukan islam.

Saya tertarik dengan kisah Saidina Ali pernah ditanyakan oleh seorang pemuda, "Kenapa pemuda zaman pemerintahanmu kini selalu berbalah dan berperang,tidak seperti zaman sebelumnya? Jawab ali dengan mudah, "Sesungguhnya pemuda pada zaman mereka dahulu adalah pemuda seperti aku, manakala pemuda zaman ku ini adalah seperti kamu".

Saya berfikir eloklah saat ini kita bersatu atas satu kalimah iaitu kalimah agung LAA ILA HAA ILLALLAH. jika kita bersatu dengan kalimah ini insyaAllah, Allah pasti membantu kita. lupakanlah soal politik,lupakanlah soal bangsa, bersatulah saudaraku dalam kalimah ini. Allah menghendaki kita belajar. Allah menghendaki kita berubah. jika di indonesia punya Tsunami, dan gempa bumi. kita juga Allah turunkan satu gempa kepada kita supaya kita bangun dari lena, supaya kita bangun dari lamunan kita selama ini dan berubah kearah kebaikan. Kepada golongan muda, Ayuh! kita bangkit dari lamunan kita kuatkan jati diri kita sebagai golongan muda islam yang cemerlang. bermusahabahlah dengan kisah saidina Ali itu. Semoga ALlah menunjuki kita jalan yang benar..



Sunday, January 3, 2010

Kenali nafsu anda

Nafsu kalau tidak dididik ke arah kejahatan pun, dia tetap akan buat kejahatan. Betapalah kalau dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat. Malang bagi suatu bangsa yang nafsunya memang jahat, dididik, diasuh dan dibaja pula ke arah kejahatan. Akan lahirlah orang pandai yang jahat, orang bodoh yang jahat, pemimpin yang jahat dan pendidik yang jahat. Sebab itu nafsu perlu dikenali tahap-tahapnya. Nafsu wataknya memang jahat.

Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, ditingkatkannya daripada jahat kepada baik, maka Tuhan akan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Itu janji Tuhan. Sebab itu nafsu kena dididik. Nafsu adalah musuh utama manusia. Kedua baru syaitan. Nafsu musuh dalaman. Syaitan hanya musuh luaran. Tetapi pelik, manusia tidak pandang seperti itu. Sebab itu orang yang besarkan Tuhan akan memandang nafsu itu besar dan wajib diperangi. Nafsu itulah yang sangat menyusahkan. Sebab itu dalam ajaran Islam kita mesti bermujahadah dalam melawan nafsu. Di dalam ajaran Islam, nafsu ada tujuh peringkat:

1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, "Saya anak jantan." Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan diri sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.

3. Nafsu Mulhamah
nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan.

4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya.

5. Nafsu Radhiah

Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia meredhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di peringkat ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi.

6. Nafsu Mardhiah

Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi:

"Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."

Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.

7. Nafsu Kamilah

Orang yang sempurna atau hampir sempurna keimanannya. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke tahap macam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.

Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah sesiapa sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam sukatan pelajaran. Ayat Al Quran dan Hadis yang dibaca dan dipelajari di sekolah pun tidak ada ayat-ayat yang berkaitan dengan nafsu dan kejahatannya.

Usaha memerangi nafsu tidak diaplikasikan dalam tindakan. Bila sebut musuh, yang mula-mula nampak ialah Yahudi dan Amerika sahaja. Sedangkan Yahudi dan Amerika itu hanya mainan nafsu sahaja. jadi, sebagai seorang manusia fikir-fikir dan renungkanlah dimanakah tahap nafsu kita sekarang. usaha mendidik nafsu ini perlu diteruskan supaya kita sebagai manusia ini akan terus menjadi manusia yang sebenarnya.