Sunday, May 22, 2011

Hidup Hidupilah UMNO, jangan mencari hidup dalam UMNO


Pada tanggal 11 Mei 2011 yang lalu, UMNO telah menyambut ulangtahunnya yang ke 65. Ini membuktikan UMNO telah mencapai usia yang begitu matang dalam gelanggang politik mahupun dalam sistem pemerintahan yang penuh dengan cabaran globalisasi. Sekalung tahniah kepada pejuang pejuang UMNO yang telah memartabatkan Agama Islam, memperkasakan bangsa Melayu dan mempertahankan Tanah Air yang tercinta ini sejak awal penubuhannya. Pada hari ini, 22Mei 2011, UMNO Bahagian Setiawangsa telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO bahagian Setiawangsa. Tahniah kepada Perwakilan yang hadir.

Pemuda ialah golongan muda belia yang akan mewarisi tampuk pemerintahan kerajaan pada hari ini. Pemuda juga ialah pejuang muda untuk memartabatkan agama islam, memperkasakan bangsa dan mempertahankan negara pada masa depan. Jika diimbas kembali pada awal penubuhan UMNO, Pemuda UMNO sanggup berjuang habis habisan bersama barisan kepimpinan ketika itu untuk memerdekakan negara ini. Itulah kebanggaan UMNO pada suatu ketika dahulu.



Lagu ikrar pemuda UMNO itu menjadi panduan matlamat pejuang muda dalam UMNO, "Pemuda harapan negara, membela dan membuat jasa, membina negara kaya raya, ibu pertiwi Malaysia." antara rangkap lirik lagu ikrar pemuda UMNO. Namun, jika dinilai kembali dengan pemuda UMNO pada hari ini khususnya di bahagian setiawangsa, adakah kita layak menjadi harapan bangsa? adakah kita layak membela dan membuat jasa? adakah kita sanggup berjuang berkorban jiwa raga? kepada pemuda UMNO tepuk dada tanyalah diri kita sendiri.

Kata kata hikmah oleh Saidina Ali : "Jika kita ingin lihat bagaimana Islam di masa akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini". Jesteru, jika kita ingin lihat bagaimana UMNO Setiawangsa pada masa akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini. Jika kita ingin melihat bagaimana melayu akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini yang gemar berpeleseran dan berhibur tanpa batasan. Itukah yang kita mahukan di masa akan datang?

Beberapa langkah perlu di atur untuk memartabatkan kembali Pemuda Melayu amnya, Pemuda UMNO Setiawangsa khususnya. Pemuda UMNO perlu "mengisi" diri mereka dengan ilmu ilmu agama dengan sebanyak banyaknya untuk kebaikan ummah dan untuk menangkis fatwa yang di keluarkan oleh pihak PAS jika ada kesalahannya. Kita perlu menyiapkan diri dalam menghadapi lawan. Ibarat pendekar menyiapkan diri mereka untuk bertarung di gelanggang persilatan. Ini adalah untuk persediaan menghadapi segala kemungkinan isu yang akan di bangkitkan oleh PAS kerana PAS ialah satu satunya parti yang asasnya ialah orang melayu akan tetapi perjuangan mereka ialah hanyalah untuk menjatuhkan UMNO semata. Kita perlu membuktikan bahawa kita lebih hebat dan perjuangan kita dalam memartabatkan islam di Malaysia adalah jihad yang benar. Untuk memperoleh itu, kita semua perlu mencari ilmu dengan sebanyak banyaknya tidak kira ilmu politik mahupun ilmu yang lainnya terutama ilmu agama.

Alhamdulillah, Allah memberikan kemenangan kepada UMNO di setiwangsa pada PRU 12 yang lalu. Itu bukan bermakna kemenangan akan berpihak kepada kita pada PRU13 nanti. "Lambang kita yang gagah, dipandang mulia dan indah" ialah beberapa potong ayat dari lirik lagu UMNO. Jika kita kaji, adakah kita dipandang mulia, gagah dan indah di mata masyarakat? jawapannya pada PRU 13 nanti. Perjuangan kita perlu berlandaskan Al Quran dan As sunnah untuk menjadikan perjuangan Islam itu yang utama dalam UMNO, perjuangan kepada bangsa yang kedua dan seterusnya mempertahankan negara ini dari dimiliki oleh orang bukan melayu.

Program sukan (bola sepak) yang sering di adakan oleh pemuda Setiwangsa boleh dikategorikan sebagai acara yang lapok dan kurang pengisian kepada golongan muda melayu. Sepatutnya, kita perlu adakan program pemantapan iman, program kerohanian yang dapat membimbing anak melayu agar kembali kepada islam. Program pemantapan solat untuk remaja, kursus pengurusan jenazah, sembelihan dan banyak lagi program yang dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada ummah di bahagian setiawangsa dan bakal menarik minat golongan terpelajar dan golongan muda untuk mendekati UMNO jesteru dapat memulihkan kembali imej UMNO yang telah kurang popular di mata masyarakat. Dasar perjuangan islam itu amat penting kerana ia dapat memberi satu impak yang besar kepada barisan kepimpinan di masa hadapan. Kerana pihak PAS lebih menonjol dengan keislamannya dari UMNO.

Mendekati golongan terpelajar untuk mengetahui apa harapan mereka kepada UMNO. Melakukan survey kepada golongan muda melayu untuk menganalisis segala kelemahan dan kelebihan pemuda UMNO di setiawangsa. Mengadakan program kesedaran mengenai kepentingan orang melayu dalam memerintah negara terbuka kepada seluruh warga melayu di bahagian setiawangsa. Latihan intensif untuk golongan muda yang layak untuk memimpin dan layak untuk membimbing anak melayu perlu di adakan secepat mungkin dalam kita memilih calon yang layak memimpin PEMUDA UMNO berdasarkan ketokohan dan kewibawaan yang ada pada calon tersebut bukan berdasarkan pemilihan yang bersifat kepuakan dengan mengamalkan politik wang yang akan merugikan anak bangsa.

Tertarik saya dengan kata kata Kiai Haji Ahmad Dahlan : "hidup hidupilah Muhammadiyyah, jangan mencari hidup dalam Muhammadiyyah". Muhammadiyyah ialah satu institusi ilmu yang memberi lembaran baru kepada masyarakat islam di Jawa. Jika dikaitkan "Hidup Hidupilah UMNO, jangan mencari Hidup dalam UMNO". bermaksud janganlah kita jadikan UMNO sebagai landasan untuk kesenangan diri sendiri kerana ia bakal menjadi racun yang bisa utk anak melayu akan datang.

Kita sudah terlepas beberapa buah negeri pada PRU12 lalu. Ini ialah satu rahmat dari Allah dan Belas KasihanNya kepada kita. jika di kaji kembali, hikmah kekalahan kita di beberapa buah negeri itu menjadi satu titik tolak untuk kita muhasabah diri kita dan kembali kepada landasan perjuangan sebenar, iaitu Islam. Jika tidak kerana kekalahan itu, kita pasti masih lena dibuai mimpi yang tidak berkesudahan. Ini ialah rahmat yang paling besar untuk UMNO, maka gunakanlah sebaiknya.

Strategi pembangkang dalam mendekati mahasiswa untuk "menyebarkan virus" semakin menampakkan hasil, mahasiswa terutama melayu semakin meluat dengan isu isu yang dimainkan UMNO. Pemuda UMNO perlu dijadikan sebagai medium dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada golongan mahasiswa. Pemuda UMNO setiawangsa juga membawa imej parti kemanapun mereka berada. Maka, kita haruslah memperbaiki diri agar kita menjadi contoh kepada golongan muda yang lainnya di luar sana.

Pendekatan mengunakan media elektronik sebagai medium untuk mempromosikan UMNO di laman sosial adalah satu tanda Pemuda UMNO semakin bijak dalam menyampaikan maklumat. Namun, permainan isu perlu di jaga dan janganlah jadikan laman sosial seperti Facebook sebagai alat untuk memburukkan pemimipin tertentu walaupun pemimpin pembangkang. Sepatutnya kita jadikan laman sosial Facebook sebagai kita menjadi "antivirus" kepada virus yang disebarkan oleh pembangkang.

Perjuangan Islam dalam UMNO perlu di perluaskan lagi untuk memastikan adanya redha Allah dan rahmatNya dalam perjuangan kita. Pemuda perlu terus bangkit dan berjuang dalam memperbaiki diri dan mencari ilmu sebanyak banyak dalam menghadapi pilihanraya yang semakin hampir. Ingatlah saudaraku, kemenangan itu ialah datangnya dari Allah, kekalahan itu juga datangnya dari Allah. Maka, Berdoalah, berusahalah, berikhtiarlah dan akhir sekali bertwakkal kepada Allah. itu ialah kunci kejayaan kita...Allahu Akbar!!

-Amirul Izzat Abdul Rahman-