Monday, December 5, 2011

Buang Ego kalian wahai khalifah.

Sedih melihat gelagat pemimpin Melayu Islam yang sedang bertegang urat, bertikam lidah demi mempertahankan panji panji perjuangan mereka. Bulan purnama masih terang benderang manakala keris seperti tiada bisa dan telah tumpul matanya. Bulan sebenarnya mengharapkan sinar matahari untuk menjadi indah tatkala di malam hari, oleh sebab itulah bulan menjadi pujaan pasangan kekasih ketika malam mendatang. Namun keris perlu di asah setajam tajamnya dalam menghadapi pertempuran untuk memastikan dapat menikam mahupun mempertahankan diri dari serangan musuh dari pelbagai sudut ketika ini. Panji panji Bulan dan Keris menjadi perjuangan utama orang melayu walaupun berbeda dari segi ideologi politiknya. Yang keris tetap dengan melayunya, manakalah yang bulan masih dengan islamnya walaupun ia seperti malap dek kepentingan politiknya.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu telah menyaksikan para perwakilan UMNO telah berbaiah untuk taat setia di bawah pimpinan Najib. Namun ia sebenarnya di tertawakan oleh pembangkang kerana ia dilihat seperti polemik untuk menunjukkan kepada pembangkang bahawa pendekar pendekar UMNO telah siap sedia untuk bertempur. Namun, pada hakikatnya ilmu kependekaran UMNO masih belum utuh didada mereka kerana masih belum menjiwai sepenuhnya matlamat perjuangan dalam UMNO. Ahli ahli UMNO sebenarnya telah melakukan kesilapan dan ia dilihat satu kerugian yang amat besar kerana menggunakan platform PAU sebagai medan untuk kutuk mengutuk saudara sesama islam dengan mereka demi untuk melunaskan kehendak nafsu mereka ketika berucap. Pada hakikatnya, mereka sebenarnya telah membantu pihak pembangkang dalam mempromosikan Pakatan Rakyat di seluruh negara. Termasuk juga Presiden UMNO sendiri tururt membantu mempromosikan pakatan rakyat pada PAU tersebut.

PAS merupakan parti yang berteraskan islam dalam perjuangan mereka. Namun sejauh mana islamnya pembawakan mereka atau hanya untuk menentang UMNO yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Ada di antara pemimpin mereka bila bercakap atas platform islam, mereka berkata perlunya penyatuan dalam islam, umat islam perlu bersatu, islam menggalakkan kita bersatu sambil mengeluarkan hadis hadis nabi mengenai penyatuan dalam islam. Namun, bila bercakap atas platform PAS, ia tidak seperti yang mereka katakan. Malah dilihat seperti mahu menjatuhkan UMNO semata dalam perjuangan mereka. Dalam ceramah mereka, mereka menggalakkan ahli ahli PAS bangun solat malam, bertahajjud, membaca quran dan lakukan segala amalan yang baik. Ini merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh UMNO. Namun, solat malam mereka juga di masukkan mendoakan kejatuhan dan kehancuran UMNO pada PRU13 nanti. Sangat kecewa dan sedih dengan statement yang diberikan oleh YDP PAS di kawasan gombak pada 3hb disember lepas yang mengajak ahlinya mendoakan kehancuran UMNO.

Kemana hilangnya rasa kasih dan sayang di terapkan Rasulullah S.A.W. Adalah lebih baik jika mereka mendoakan ahli UMNO dan pemimpin UMNO mendapat hidayah dari Allah agar bersama mereka memperkasakan Islam di Malaysia ini seterusnya menjadi pencetus kepada kekuatan Ummah dan kesatuan Melayu dan Islam di negara ini. Gelanggang politik di Malaysia ini semakin hangat pabila satu persatu aib pemimpin dibongkarkan oleh saudara sendiri. Pembangkang membogelkan pemimpin kerajaan, manakala kerajaan UMNO membogelkan pemimpin pembangkang. pada hakikatnya kedua dua belah pihak telah pun di telangjang bulatkan oleh satu sama lain. Alangkah malu dan sedih melihat medan politik di Malaysia berteraskan aib mengaibkan, fitnah memfitnah, buruk memburukkan satu sama lain. Apakah langsung tiada rasa kasih dan sayang di jiwa pemimpin (Kerajaan mahupun pembangkang) kita pada hari ini?

Kalau UMNO masih dengan Melayu nya, PAS masih dengan Islamiknya, PKR dengan liberalisme nya. Namun dalam berpolitik, kefahaman tentang ideologi dan matlamat parti itu penting. Untuk menyampaikan maklumat yang tepat tentang perjuangan parti, tidak perlu memburukkan satu sama lain. Sebaliknya kita perlu mempertahankan dan menyebarkan matlamat dan objektif perjuangan parti kepada rakyat supaya mereka dapat memahami kekuatan sesebuah parti. Pada setiap ceramah ataupun  perhimpunan, pasti ada saja berita yang mahu di bogelkan.

Pemimpin UMNO mahupun PAS perlu membuang ego masing masing dalam memastikan kekuatan ummah kembali utuh. Perjuangan perlu berterasklan kasih dan sayang sesama saudara.Melayu kini menjadi lemah di bumi sendiri dek perbedaan ideologi politik masing masing di kalangan rakyatnya dan ada juga yang menangguk dia air yang keruh untuk menanti saat kejatuhan empayar melayu di bumi jawi ini. Jika PAS memikirkan soal kekuatan Islam dan jika UMNO memikirkan mengenai kekuatan Melayu, jalannya ialah perlunya ada penyatuan  2 parti ini untuk memastikan Melayu dan Islam masih utuh di negara ini. Namun, jika mereka masih memikirkan tentang perbedaan politik, penyatuan dan kekuatan melayu mungkin akan hanya tinggal laungan sahaja tanpa kesedaran rakyat yang lainnya.

Amirul Izzat