Monday, December 5, 2011

Buang Ego kalian wahai khalifah.

Sedih melihat gelagat pemimpin Melayu Islam yang sedang bertegang urat, bertikam lidah demi mempertahankan panji panji perjuangan mereka. Bulan purnama masih terang benderang manakala keris seperti tiada bisa dan telah tumpul matanya. Bulan sebenarnya mengharapkan sinar matahari untuk menjadi indah tatkala di malam hari, oleh sebab itulah bulan menjadi pujaan pasangan kekasih ketika malam mendatang. Namun keris perlu di asah setajam tajamnya dalam menghadapi pertempuran untuk memastikan dapat menikam mahupun mempertahankan diri dari serangan musuh dari pelbagai sudut ketika ini. Panji panji Bulan dan Keris menjadi perjuangan utama orang melayu walaupun berbeda dari segi ideologi politiknya. Yang keris tetap dengan melayunya, manakalah yang bulan masih dengan islamnya walaupun ia seperti malap dek kepentingan politiknya.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu telah menyaksikan para perwakilan UMNO telah berbaiah untuk taat setia di bawah pimpinan Najib. Namun ia sebenarnya di tertawakan oleh pembangkang kerana ia dilihat seperti polemik untuk menunjukkan kepada pembangkang bahawa pendekar pendekar UMNO telah siap sedia untuk bertempur. Namun, pada hakikatnya ilmu kependekaran UMNO masih belum utuh didada mereka kerana masih belum menjiwai sepenuhnya matlamat perjuangan dalam UMNO. Ahli ahli UMNO sebenarnya telah melakukan kesilapan dan ia dilihat satu kerugian yang amat besar kerana menggunakan platform PAU sebagai medan untuk kutuk mengutuk saudara sesama islam dengan mereka demi untuk melunaskan kehendak nafsu mereka ketika berucap. Pada hakikatnya, mereka sebenarnya telah membantu pihak pembangkang dalam mempromosikan Pakatan Rakyat di seluruh negara. Termasuk juga Presiden UMNO sendiri tururt membantu mempromosikan pakatan rakyat pada PAU tersebut.

PAS merupakan parti yang berteraskan islam dalam perjuangan mereka. Namun sejauh mana islamnya pembawakan mereka atau hanya untuk menentang UMNO yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Ada di antara pemimpin mereka bila bercakap atas platform islam, mereka berkata perlunya penyatuan dalam islam, umat islam perlu bersatu, islam menggalakkan kita bersatu sambil mengeluarkan hadis hadis nabi mengenai penyatuan dalam islam. Namun, bila bercakap atas platform PAS, ia tidak seperti yang mereka katakan. Malah dilihat seperti mahu menjatuhkan UMNO semata dalam perjuangan mereka. Dalam ceramah mereka, mereka menggalakkan ahli ahli PAS bangun solat malam, bertahajjud, membaca quran dan lakukan segala amalan yang baik. Ini merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh UMNO. Namun, solat malam mereka juga di masukkan mendoakan kejatuhan dan kehancuran UMNO pada PRU13 nanti. Sangat kecewa dan sedih dengan statement yang diberikan oleh YDP PAS di kawasan gombak pada 3hb disember lepas yang mengajak ahlinya mendoakan kehancuran UMNO.

Kemana hilangnya rasa kasih dan sayang di terapkan Rasulullah S.A.W. Adalah lebih baik jika mereka mendoakan ahli UMNO dan pemimpin UMNO mendapat hidayah dari Allah agar bersama mereka memperkasakan Islam di Malaysia ini seterusnya menjadi pencetus kepada kekuatan Ummah dan kesatuan Melayu dan Islam di negara ini. Gelanggang politik di Malaysia ini semakin hangat pabila satu persatu aib pemimpin dibongkarkan oleh saudara sendiri. Pembangkang membogelkan pemimpin kerajaan, manakala kerajaan UMNO membogelkan pemimpin pembangkang. pada hakikatnya kedua dua belah pihak telah pun di telangjang bulatkan oleh satu sama lain. Alangkah malu dan sedih melihat medan politik di Malaysia berteraskan aib mengaibkan, fitnah memfitnah, buruk memburukkan satu sama lain. Apakah langsung tiada rasa kasih dan sayang di jiwa pemimpin (Kerajaan mahupun pembangkang) kita pada hari ini?

Kalau UMNO masih dengan Melayu nya, PAS masih dengan Islamiknya, PKR dengan liberalisme nya. Namun dalam berpolitik, kefahaman tentang ideologi dan matlamat parti itu penting. Untuk menyampaikan maklumat yang tepat tentang perjuangan parti, tidak perlu memburukkan satu sama lain. Sebaliknya kita perlu mempertahankan dan menyebarkan matlamat dan objektif perjuangan parti kepada rakyat supaya mereka dapat memahami kekuatan sesebuah parti. Pada setiap ceramah ataupun  perhimpunan, pasti ada saja berita yang mahu di bogelkan.

Pemimpin UMNO mahupun PAS perlu membuang ego masing masing dalam memastikan kekuatan ummah kembali utuh. Perjuangan perlu berterasklan kasih dan sayang sesama saudara.Melayu kini menjadi lemah di bumi sendiri dek perbedaan ideologi politik masing masing di kalangan rakyatnya dan ada juga yang menangguk dia air yang keruh untuk menanti saat kejatuhan empayar melayu di bumi jawi ini. Jika PAS memikirkan soal kekuatan Islam dan jika UMNO memikirkan mengenai kekuatan Melayu, jalannya ialah perlunya ada penyatuan  2 parti ini untuk memastikan Melayu dan Islam masih utuh di negara ini. Namun, jika mereka masih memikirkan tentang perbedaan politik, penyatuan dan kekuatan melayu mungkin akan hanya tinggal laungan sahaja tanpa kesedaran rakyat yang lainnya.

Amirul Izzat


Wednesday, October 5, 2011

UMNO,mana generasi muda mu?

Segala Puji pujian hanya bagi Allah Tuhan Semesta Alam, yang sentiasa melimpahkan rahmatNya di bumi Malaysia yang di cintai ini. Malaysia juga salah satu negara islam yang maju di dunia ini. Kita pernah digeruni di kalangan negara ASEAN kerana keutuhan ekonomi negara. Tiger Economy, gelaran bagi Malaysia pada satu ketika dulu. Saudara sekalian, sejak akhir ini kita dapati kita semakin lemah, ekonomi negara juga semakin lemah walaupun di paparkan di media arus perdana bahawa ekonomi kita semakin maju dan meningkat, namun hakikatnya kita semakin lemah dan terus lemah. Selain ekonomi, kita orang orang melayu menghadapi krisis identiti, krisis akhlak dan pelbagai lagi masalah yang melanda orang orang melayu pada hari ini. Kita semakin lemah dan akan terus lemah jika kita tidak berusaha untuk memajukan diri kita.

UMNO suatu ketika dahulu adalah satu parti keramat bagi orang orang melayu tidak kira tua ataupun muda, lelaki ataupun perempuan. UMNO sudah sebati dalam diri orang orang melayu sejak awal penubuhannya sehinggalah hari ini. UMNO juga merupakan satu platform dalam perjuangan kemerdekaan negara dari penjajah melalui perundingan dengan pihak british. Ketika itu semua orang orang melayu sangat bangga pabila menjadi ahli sebuah parti keramat orang melayu. Terlintas di lubuk hati saya, kenapa pada zaman itu UMNO seperti pendekar yang sangat mahir dengan ilmu persilatannya? sehinggakan tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan UMNO pada ketika itu. Jawapannya, golongan muda yang berada dalam UMNO pada zaman itu adalah golongan muda yang hebat dan sangat tinggi semangat juangnya. 

Alhamdulillah, Allah telah beri kesempatan lagi pada UMNO untuk memerintah negara ini. Kemenagan BN dalam PRU 12 yang lalu bukanlah satu kejayaan yang boleh membanggakan BN, kerana BN mampu pergi lagi jauh dari itu. Kegagalan dalam mempertahankan pemerintahan bagi negeri kedah,perak dan selangor adalah satu amaran dari pihak pembangkang yang mereka telah bangkit dari kejatuhan. Adakah kita hendak biarkan mereka memerintah seluruh tanah air kita ini? Hakikatnya, UMNO semakin lemah. Satu persatu kesilapan kita di bogelkan oleh pembangkang. Segala isu yang kita mainkan semuanya gagal. Seakan UMNO sudah di tawarkan ilmunya dan tidak punya taring untuk menyerang lagi. segala isu yang dibangkitkan pembangkang mengenai kemungkaran umno dikeluarkan. Kenapa? Tidak perlu menyalahkan pembangkan dalam soal ini, sebaliknya salahkan diri kita sendiri. Hakikatnya kita sendiri yang melakukan kesilapan sehingga di hidu oleh pembangkang. Jika kita bersih dalam pemerintahan, saya yakin mereka tidak punya isu untuk membogelkan kita. Dari isu MP masuk masjid sehinggalah isu sejarah Malaysia, kita kalah dalam menjawab segala isu yang ditimbulkan oleh pembangkang.

Kata kata saidina Ali karamallahu wajhah, " Jika kita ingin melihat bagaimana islam di masa hadapan, lihatlah golongan mudanya pada hari ini". Dengan menggunakan mutiara kata ini juga kita boleh simpulkan, bagaimana UMNO pada masa hadapan? Pemimpin pemimpin UMNO di peringkat cawangan sebenarnya perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO. UMNO perlukan penjenamaan semula. Jika Tun Mahathir telah membuat penjenamaan semula UMNO dizamannya. UMNO pada masa ini juga perlu penjenamaan semula dan penstrukturan semula di seluruh peringkat. Sedih melihat golongan muda UMNO di peringkat cawangan khususnya, sunyi dan sepi dan tiada sambutan yang hangat dari golongan muda melayu. Di manakan pemimpin kita di peringkat cawangan? adakah mereka hanya duduk lepak borak kosong sambil mengata dan menjatuhkan saudara sendiri? Jika ini benar benar belaku, saya yakin kita akan punah tidak lama lagi. Sepatutnya pemimpin peringkat cawangan perlu menjadi mentor dan fasilitator kepada PUMUDA UMNO di peringkat cawangan. Di bahagian setiawangsa sendiri, sedih melihat golongan muda yang menghadiri perhimpunan Pemuda Umno bahagian, hanya dihadiri oleh golongan muda yang kebanyakannya tiada jatidirinya. Saya yakin penulisan saya ini mungkin akan membuat segelintir pemimpin UMNO bahagian akan berang, akan tetapi saya menyataan kebenaran yang kita perlu sedar. Saya ingin bertanya pada pemimpin UMNO bahagian Setiawangsa, adakah masih ada sinar dan harapan UMNO akan terus kukuh jika kita melihat PEMUDA UMNO kita pada hari ini? 

Untuk berjuang dalam sesuatu. Kita perlu ada asas yang kukuh. tetapi apakah asas perjuangan UMNO  pada hari ini? adakah untuk memartabatkan agama islam, bangsa melayu dan tanah air atau untuk mengisi perut sendiri? yang diketahui umum, pemimpin UMNO hanya mengisi perut mereka sendiri sahaja. Asas yang kukuh itu adalah agama islam. Bagaimana kita hendak berjuang tanpa ada asas perjuangan yang kukuh? adakah kita berjuang tanpa arah tuju? Asas agama islam itu penting dalam perjuangan. bagaimana seorang mujahid untuk mencapai syuhada? kerana sayangkan agama. mereka telah gugur syahid dalam peperangan. Dalam lirik UMNO juga ada menyatakan, berjasa pada Bangsa, Agama dan Negara. Prinsip itu perlu di ubah kepada Berjasa pada Agama, Bangsa dan Negara.

Tiada landasan yang betul dalam perjuangan membuatkan golongan muda tidak tertarik dalam UMNO. Pemimpin UMNO peringkat cawangan perlu memberi tunjuk ajar kepada pelapis mereka, bukan untuk menggunakan pemuda untuk meraih pengaruh dalam menjatuhkan pemimpin tertentu. Perlu apa kita menjatuhkan pemimpin itu jika ia berkhidmat baik di setiawangsa, apakah sudah hilang rasa kasih sayang antara satu sama lain semsama islam dalam UMNO setiawangsa? Dalam UMNO sendiri ada kumpulan tertentu untuk menjatuhkan pemipin. Pemuda sendiri tidak tahu apa yang mereka perlu lakukan dalam membangkitkan semangat orang orang melayu.

Apa yang di tulis ini adalah realiti yang dihadapi oleh golongan muda UMNO setiawangsa. Bersiap siagalah dalam menghadapi PRU 13 yang akan datang. Pemimpin UMNO cawangan perlu memikirkan bagaimana untuk membina semula kekuata golongan Muda UMNO setiawangsa. Penulisan ini mungkin akan menimbulkan kitidakpuasan hati pemimpin UMBO bahagian, tetapi ketahuilah, ini adalah realiti dan hakikat yang perlu diterima. Kadang kadang kebenaran itu pahit untuk ditelan.

Sekian

Sunday, May 22, 2011

Hidup Hidupilah UMNO, jangan mencari hidup dalam UMNO


Pada tanggal 11 Mei 2011 yang lalu, UMNO telah menyambut ulangtahunnya yang ke 65. Ini membuktikan UMNO telah mencapai usia yang begitu matang dalam gelanggang politik mahupun dalam sistem pemerintahan yang penuh dengan cabaran globalisasi. Sekalung tahniah kepada pejuang pejuang UMNO yang telah memartabatkan Agama Islam, memperkasakan bangsa Melayu dan mempertahankan Tanah Air yang tercinta ini sejak awal penubuhannya. Pada hari ini, 22Mei 2011, UMNO Bahagian Setiawangsa telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO bahagian Setiawangsa. Tahniah kepada Perwakilan yang hadir.

Pemuda ialah golongan muda belia yang akan mewarisi tampuk pemerintahan kerajaan pada hari ini. Pemuda juga ialah pejuang muda untuk memartabatkan agama islam, memperkasakan bangsa dan mempertahankan negara pada masa depan. Jika diimbas kembali pada awal penubuhan UMNO, Pemuda UMNO sanggup berjuang habis habisan bersama barisan kepimpinan ketika itu untuk memerdekakan negara ini. Itulah kebanggaan UMNO pada suatu ketika dahulu.



Lagu ikrar pemuda UMNO itu menjadi panduan matlamat pejuang muda dalam UMNO, "Pemuda harapan negara, membela dan membuat jasa, membina negara kaya raya, ibu pertiwi Malaysia." antara rangkap lirik lagu ikrar pemuda UMNO. Namun, jika dinilai kembali dengan pemuda UMNO pada hari ini khususnya di bahagian setiawangsa, adakah kita layak menjadi harapan bangsa? adakah kita layak membela dan membuat jasa? adakah kita sanggup berjuang berkorban jiwa raga? kepada pemuda UMNO tepuk dada tanyalah diri kita sendiri.

Kata kata hikmah oleh Saidina Ali : "Jika kita ingin lihat bagaimana Islam di masa akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini". Jesteru, jika kita ingin lihat bagaimana UMNO Setiawangsa pada masa akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini. Jika kita ingin melihat bagaimana melayu akan datang, lihatlah golongan mudanya pada hari ini yang gemar berpeleseran dan berhibur tanpa batasan. Itukah yang kita mahukan di masa akan datang?

Beberapa langkah perlu di atur untuk memartabatkan kembali Pemuda Melayu amnya, Pemuda UMNO Setiawangsa khususnya. Pemuda UMNO perlu "mengisi" diri mereka dengan ilmu ilmu agama dengan sebanyak banyaknya untuk kebaikan ummah dan untuk menangkis fatwa yang di keluarkan oleh pihak PAS jika ada kesalahannya. Kita perlu menyiapkan diri dalam menghadapi lawan. Ibarat pendekar menyiapkan diri mereka untuk bertarung di gelanggang persilatan. Ini adalah untuk persediaan menghadapi segala kemungkinan isu yang akan di bangkitkan oleh PAS kerana PAS ialah satu satunya parti yang asasnya ialah orang melayu akan tetapi perjuangan mereka ialah hanyalah untuk menjatuhkan UMNO semata. Kita perlu membuktikan bahawa kita lebih hebat dan perjuangan kita dalam memartabatkan islam di Malaysia adalah jihad yang benar. Untuk memperoleh itu, kita semua perlu mencari ilmu dengan sebanyak banyaknya tidak kira ilmu politik mahupun ilmu yang lainnya terutama ilmu agama.

Alhamdulillah, Allah memberikan kemenangan kepada UMNO di setiwangsa pada PRU 12 yang lalu. Itu bukan bermakna kemenangan akan berpihak kepada kita pada PRU13 nanti. "Lambang kita yang gagah, dipandang mulia dan indah" ialah beberapa potong ayat dari lirik lagu UMNO. Jika kita kaji, adakah kita dipandang mulia, gagah dan indah di mata masyarakat? jawapannya pada PRU 13 nanti. Perjuangan kita perlu berlandaskan Al Quran dan As sunnah untuk menjadikan perjuangan Islam itu yang utama dalam UMNO, perjuangan kepada bangsa yang kedua dan seterusnya mempertahankan negara ini dari dimiliki oleh orang bukan melayu.

Program sukan (bola sepak) yang sering di adakan oleh pemuda Setiwangsa boleh dikategorikan sebagai acara yang lapok dan kurang pengisian kepada golongan muda melayu. Sepatutnya, kita perlu adakan program pemantapan iman, program kerohanian yang dapat membimbing anak melayu agar kembali kepada islam. Program pemantapan solat untuk remaja, kursus pengurusan jenazah, sembelihan dan banyak lagi program yang dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada ummah di bahagian setiawangsa dan bakal menarik minat golongan terpelajar dan golongan muda untuk mendekati UMNO jesteru dapat memulihkan kembali imej UMNO yang telah kurang popular di mata masyarakat. Dasar perjuangan islam itu amat penting kerana ia dapat memberi satu impak yang besar kepada barisan kepimpinan di masa hadapan. Kerana pihak PAS lebih menonjol dengan keislamannya dari UMNO.

Mendekati golongan terpelajar untuk mengetahui apa harapan mereka kepada UMNO. Melakukan survey kepada golongan muda melayu untuk menganalisis segala kelemahan dan kelebihan pemuda UMNO di setiawangsa. Mengadakan program kesedaran mengenai kepentingan orang melayu dalam memerintah negara terbuka kepada seluruh warga melayu di bahagian setiawangsa. Latihan intensif untuk golongan muda yang layak untuk memimpin dan layak untuk membimbing anak melayu perlu di adakan secepat mungkin dalam kita memilih calon yang layak memimpin PEMUDA UMNO berdasarkan ketokohan dan kewibawaan yang ada pada calon tersebut bukan berdasarkan pemilihan yang bersifat kepuakan dengan mengamalkan politik wang yang akan merugikan anak bangsa.

Tertarik saya dengan kata kata Kiai Haji Ahmad Dahlan : "hidup hidupilah Muhammadiyyah, jangan mencari hidup dalam Muhammadiyyah". Muhammadiyyah ialah satu institusi ilmu yang memberi lembaran baru kepada masyarakat islam di Jawa. Jika dikaitkan "Hidup Hidupilah UMNO, jangan mencari Hidup dalam UMNO". bermaksud janganlah kita jadikan UMNO sebagai landasan untuk kesenangan diri sendiri kerana ia bakal menjadi racun yang bisa utk anak melayu akan datang.

Kita sudah terlepas beberapa buah negeri pada PRU12 lalu. Ini ialah satu rahmat dari Allah dan Belas KasihanNya kepada kita. jika di kaji kembali, hikmah kekalahan kita di beberapa buah negeri itu menjadi satu titik tolak untuk kita muhasabah diri kita dan kembali kepada landasan perjuangan sebenar, iaitu Islam. Jika tidak kerana kekalahan itu, kita pasti masih lena dibuai mimpi yang tidak berkesudahan. Ini ialah rahmat yang paling besar untuk UMNO, maka gunakanlah sebaiknya.

Strategi pembangkang dalam mendekati mahasiswa untuk "menyebarkan virus" semakin menampakkan hasil, mahasiswa terutama melayu semakin meluat dengan isu isu yang dimainkan UMNO. Pemuda UMNO perlu dijadikan sebagai medium dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada golongan mahasiswa. Pemuda UMNO setiawangsa juga membawa imej parti kemanapun mereka berada. Maka, kita haruslah memperbaiki diri agar kita menjadi contoh kepada golongan muda yang lainnya di luar sana.

Pendekatan mengunakan media elektronik sebagai medium untuk mempromosikan UMNO di laman sosial adalah satu tanda Pemuda UMNO semakin bijak dalam menyampaikan maklumat. Namun, permainan isu perlu di jaga dan janganlah jadikan laman sosial seperti Facebook sebagai alat untuk memburukkan pemimipin tertentu walaupun pemimpin pembangkang. Sepatutnya kita jadikan laman sosial Facebook sebagai kita menjadi "antivirus" kepada virus yang disebarkan oleh pembangkang.

Perjuangan Islam dalam UMNO perlu di perluaskan lagi untuk memastikan adanya redha Allah dan rahmatNya dalam perjuangan kita. Pemuda perlu terus bangkit dan berjuang dalam memperbaiki diri dan mencari ilmu sebanyak banyak dalam menghadapi pilihanraya yang semakin hampir. Ingatlah saudaraku, kemenangan itu ialah datangnya dari Allah, kekalahan itu juga datangnya dari Allah. Maka, Berdoalah, berusahalah, berikhtiarlah dan akhir sekali bertwakkal kepada Allah. itu ialah kunci kejayaan kita...Allahu Akbar!!

-Amirul Izzat Abdul Rahman-